Showing posts with label Belanjawan Alternatif 2010. Show all posts
Showing posts with label Belanjawan Alternatif 2010. Show all posts

Bab 3: Memberikan kuasa dan daya kepada rakyat untuk membina keupayaan dan daya saing negara

Sila rujuk pendahuluan


Bab ini adalah yang paling sukar untuk saya karangkan kerana banyak cadangan nan bernas telah diutarakan. Saya cuba menulis sebahagian daripadanya serta meringkaskan cadangan-cadangan Belanjawan Alternatif (BA) ini supaya mudah dibaca dalam blog. Jika tidak, karangan ini akan menjadi sangat panjang lebar!

DAP dan seterusnya Pakatan Rakyat mengakui bahawa penghasilan dan pengekalan bakat (development and retention of talent) adalah penting untuk memajukan ekonomi Malaysia. BA ini menitikberatkan pelaburan dalam pendidikan, kesihatan, pengangkutan, kewangan, teknologi, keselamatan, sumber tenaga dan penjagaan alam sekitar dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama pelaburan asing.

BA ini menetapkan bahawa Petronas berhak menggunakan 50% daripada keuntungan tahunannya untuk melaburkan semula membangunkan serta menjamin kesailan syarikat; bakinya untuk perbelanjaan kerajaan serta pelaburan kepada dalam bidang pendidikan dan peruntukan ini adalah tambahan kepada peruntukan nan sedia ada.

Secara perbandingan, menjelang May 2009, sebanyak 79% keuntungan Petronas telah diberi kepada Kerajaan Persekutuan BN namun kesan manfaat terhadap rakyat jelata tidak dapat dirasai umum.


Cadangan-cadangan BA dalam aspek pendidikan:

# RM1,800,000,000 untuk pembinaan 115 sekolah kebangsaan, 60 SRJK(C) serta 15 SRJK (T)

# peruntukan khas RM250,000,000 meningkatkan kemudahan asas di sekolah-sekolah luar bandar

# dalam usaha membasmi gejala buta huruf di kalangan pelajar, peruntukan RM160,000,000 untuk pemberian voucher buku bernilai RM100 untuk 2 juta orang pelajar yang pendapatan keluarganya kurang daripada RM1,000 sebulan (kerajaan BN hanya memberi potongan cukai untuk pembelian buku, untuk mereka yang mampu membayar cukai)

# peruntukan RM1,200,000,000 untuk meningkatkan kemudahan universiti tempatan serta dana penyelidikan RM200,000,000 untuk USM, UM dan UPM membolehkannya mencapai taraf sebagai “research university” (dan bukan sekadar menghasilkan lepasan-lepasan yang hanya menelaah nota pensyarah sahaja)

# RM800,000,000 akan diperuntukkan kepada pembinaan dan kerja naik taraf politeknik untuk manfaat para pelajar yang tidak berjaya memasuki universiti tetapi boleh mencari peluang belajar juga


Keselamatan

Menurut kajian BA, nisbah polis Malaysia kepada bilangan penduduk (1: 295) memang lebih baik daripada Jepun (1 : 550) dan Switzerland (1: 524) oleh itu bilangan polis tak cukup untu membanteras jenayah bukanlah sebab utama berleluasanya jenayah. BA menyarankan bahawa kajian akan dibuat dalam pembahagian jawatan pegawai polis untuk menambah bilangan polis meronda dan mengurangkan bilangan pegawai di bahagian nan tidak berperanan memerangi jenayah.

BA memperuntukkan RM500,000,000 untuk sistem mendaftar pekerja dan pelawat asing secara biologi untuk mengenal-pasti orang asing yang pernah ditahan. Sistem ini telah dibuktian berjaya di Singapura.



Pembangunan industri kewangan

Memandangkan betapa majunya industri perbankan Islam di Dubai dan Singapore, Malaysia tidak boleh ketinggalan lagi. BA mencadangkan pembentukan suatu jawatankuasa iaitu Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Finance Centre) yang merangkumi pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan serta pihak swasta untuk memajukan industri kewangan ini.

Memang adalah hakikat bahawa ramai pakar industri kewangan Malaysia telah meninggal Malaysia ke luar negara akibat peluang pekerjaan dan kerjaya yang lebih baik. BA mencadangkan bahawa syarikat-syarikat kewangan akan digalakkan memberi biasiswa berikat kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berkelayakan melanjutkan pelajaran jurusan kewangan ke universiti-universiti terbaik di Amerika Syarikat dan Britain.

Kerajaan Persekutuan juga mencarumkan jumlah yang sama dengan biasiswa tersebut kepada pelajar untuk menggalakkan pihak swasta melaksanakan usaha membentuk kepakran rakyat Malaysia ini.



Pembangunan SME (Small Medium Enterprises)

BA ini mencadangkan bahawa kerajaan-kerajaan negeri diberi kuasa untuk memajukan kawasan-kawasan SME masing-masing menurut keadaan, kesesuaian serta kelebihan setempat. Ini sejajar dengan haluan pertama, “mendemokrasikan ekonomi dengan mengagihkan kuasa kepada kerajaan negeri” dan saya rasa ini akan mempercepatkan pembangunan kegiatan iktisad di luar Lembah Kelang.

Para pentadbir peringkat negeri akan rasa teransang oleh itu dapat berkhidmat dengan lebih berkesan. Cadangan dan rungutan para penduduk boleh dapat dilayan dalam masa yang lebih singkat oleh pegawai-pegawai yang lebih memahami keadaan tempatan.

BA memperuntukkan RM500,000,000 untuk mendirikan Pusat-pusat Kemudahan Awam (Common Facility Centers) dan pusat-pusat sokongan daerah (regional incubation support centres) untuk membangunkan usaha ini.

Di samping itu, kadar cukai untuk SME Malaysia akan dikurangkan daripada 20% kepada 18% dan diturunkan lagi kepada 12% untuk keuntungan RM200,000 yang pertama bagi tahun taksiran 2011. Bagi syarikat-syarikat baru, keuntungan RM200,000 yang pertama dan ke bawah akan dikecualikan daripada cukai pendapatan untuk 3 tahun yang pertama demi membantu ia berkembang.

Meskipun kutipan cukai akan berkurangan pada mulanya, tetapi BA yakin dengan adanya dorongan ini, pelaburan akan digalakkan dan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan maka faedah jangka panjang akan diperolehi.

BA ini memperuntukkan RM100,000,000 untuk memudahkan aliran kerja dalam jabatan-jabatan kerajaan agar menyenangkan pihak swasta berurus dengan kerajaan menerusi E-Government, Khidmat Singgah Setempat (One Stop Centre) dan sebagainya.

Bab 2: Rakyat didahulukan menerusi pengubahan struktur ekonomi serta pengagihan semula sumber

Sila rujuk pendahuluan

Inilah bahagian nan saya amat minati. Ia merangkumi banyak perkara dan apa yang menarik perhatian saya adalah usaha membasmi kemiskinan, membantu golongan berpendapatan rendah serta Akta Kontrak Awam Tak Adil (Unfair Public Contract Act).

Berbanding dengan agihan perbelanjaan pentadbiran BN untuk tahun 2009, BA ini bercadang mengurangkan 50% perbelanjaan kerajaan membeli barangan dan perkhidmatan, subsidi serta gran kepada perbadanan-perbadanan kerajaan dan menyalurkan wang tersebut terus kepada rakyat. Menerusi perbelanjaan ramai penerima wang ini, maka kegiatan ekonomi Malaysia akan bertambah ligat akibat kesan berganda (mulitiplier effect).



Usaha membasmi kemiskinan

Belanjawan Alternatif (BA) menyarankan peruntukan RM5,000,000,000 untuk tahun 2010 untuk membasmi kemiskinan tegar.

BA menyarankan bahawa garis ukuran pendapatan untuk menentukan golongan miskin akan dikaji semula dan diubah supaya lebih ramai golongan miskin akan layak mendapat bantuan. .

Buat masa kini, kadar pendapatan bulanan golongan miskin di Semenanjung adalah RM720, manakala Sabah adalah RM960 dan Sarawak adalah RM830.

BA menyatakan bahawa taraf kemiskinan itu perlu ditentukan menurut kos hidup setempat dan menyarankan perubahan perhitungan mengikut tempat tinggal. Definasi golongan miskin di bandaraya adalah mereka yang berpendapaan bulanan tidak lebih daripada RM1,200, manakalan untuk bandar atau pekan (contohnya Ipoh, Kuantan dan Muar) ianya adalah RM1,000 dan kawasan luar bandar adalah RM800.

Angka tersebut hanya merangkumi tahap belanja hidup seharian, bantuan tambahan akan diperolehi menerusi Dana Keselamatan Kemasyarakatan (Social Safety Net) yang bertujuan memberi bantuan kepada golongan miskin akibat kemalangan, keperluan perubatan serta pendidikan tambahan, kelahiran bayi baru. Kemudahan ini sehingga kini tidak wujud bawah pentadbiran BN.

Terkandang dalam perangkaan tersebut adalah anggaran belanja makanan seisi keluarga sebulan iaitu: RM750 untuk bandaraya, RM650 untuk bandar atau pekan serta RM550 untuk kawasan luar bandar

BA menyarankan usaha kerajaan Pulau Pinang membasmi kemiskian tegar akan dilaksanakan ke seluruh negara di mana untuk semua keluarga kemiskinan tegar, Kerajaan Persekutuan akan memberi bantuan tunai terus sehingga tahap ukuran belanja makanan tersebut dan usaha ini dijangka melibatkan perbelanjaan RM750,000,000.

Satu lagi rancangan menarik adalah peruntukan sebanyak RM1,070,000,000 sebagai Ehsan Golongan Usia Emas (Senior Malaysian Bonus) seperti berikut:

# Bayaran RM1,000 kepada orang berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM18,000 setahun dan tidak memiliki harta tanah bernilai lebih daripada RM80,000.

# Bayaran RM600 kepada orang berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai pendapatan lebih daripada RM18,000 hingga RM36,000 setahun dan tidak memiliki harta tanah bernilai lebih daripada RM150,000.

Cara bayarannya adalah kredit ke dalam akaun KWSP dan boleh dikeluarkan serta merta.

Saya bersetuju kerana generasi muda kini telah mewujudkan kadar inflasi yang amat merumitkan hidup ibubapa dan datuk nenek kita.


Membantu golongan berpendapatan rendah

Bagi golongan gaji rendah antara RM900 hingga RM1,400; BA mencadangkan bahawa kadar caruman KWSP mereka dikurangkan kepada 5% supaya wang dalam kocek mereka bertambah.

Bagi golongan gaji rendah kurang daripada RM900; BA mencadangkan mereka tidak perlu carumkan kepada KWSP dan caruman majikan dikurangkan kepada 10% supaya mereka lebih senang mendapat peluang pekerjaan.

Sebagai pampasan, Kerajaan Persekutan akan memberi Imbuhan Gaji Berpatutan (Fair Wage Supplement – ini sedang dijalankan di Singapura) seperti berikut:

Pekerja berusia 45 tahun ke atas dan gaji kurang daripada RM900 sebulan akan dapat RM2,400 setahun

Pekerja berusia 35 tahun ke atas dan gaji kurang daripada RM1,400 sebulan akan menerima RM1,600 setahun

25% daripada jumlah itu akan diberi secara tunai dan selebihnya akan dicarumkan ke dalam KWSP untuk simpanan waktu tua

Imbuhan ini adalah 10% lebih tinggi untuk kawasan-kawasan kos hidup tinggi iaitu di Lembah Kelang, Johor Bahru (kubu kuat UMNO) dan Pulau Pinang

Suri rumahtangga yang tidak bekerja pula akan menerima bayaran RM1,500 setahun sekiranya gaji suami yang bekerja itu bergaji tidak lebih daripada RM3,000 sebulan.

Rancangan ini dijangka melibatkan peruntukan RM21,000,000,000 setahun dan memberi manfaat kepada 8.13 juta orang pekerja dan 3.8 juta orang suri rumahtangga




Akta Kontrak Awam Tak Adil (Unfair Public Contract Act)


Setelah mengkaji perjanjian-perjanjian dengan syarikat-syarikat tol, DAP mendapati syarikat-syarikat ini telah mengaut keuntungan nan amat besar daripada pihak awam. Perjanjian-perjanjian Tenaga Nasional Berhad dengan IPP juga menyebabkan TNB dipaksa membeli semua bekalan elektrik yang dihasilkan oleh IPP meskipun berlebihan dengan harga yang tinggi dan akibatnya pihak awam terpaksa menanggung beban yang boleh dielakkan.

Keadaan ini yang diwujudkan oleh pentadbiran BN adalah perkara yang rumit. Perjanjian nan telah ditandatangani mesti dikotakan meskipun perjanjian itu berat sebelah.

Walau bagaimanapun, DAP mencadangkan penumbuhan Suruhanjaya Perjanjian Awam (Public Contracts Commission) untuk meneliti dan mengkaji semula semua syarat-syarat perjanjian dengan IPP dan sekiranya IPP enggan menurunkan kadar elektrik mereka serta berkongsi risiko, Suruhanjaya tersebut boleh mencadangkan Kerajaan Persekutuan mengambil alih IPP tersebut berdasarkan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian-perjanjian yang telah ditanda tangani.

Bagi syarikat-syarikat tol pula, setiap perjanjian itu berbeza. Suruhanjaya ini juga akan mengkaji kemungkinan mengambil alih syarikat-syarikat ini berdasarkan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Umpamanya syarat mengambil alih tol LDP memerlukan belanja RM1,400,000,000 tetapi setelah diambil alih, kadar tol boleh dikurangkan kepada RM1.00 dan tempoh kutipan akan dikurangkan daripada 20 tahun kepada 10 tahun.

BA memperuntukkan RM25,000,000,000 untuk tujuan mengambil alih semua lebuhraya bertol termasuk lingkaran lebuhraya PLUS. Lain-lain pihak yang akan diamati oleh Suruhanjaya ini termasuk pembekal air swasta, syarikat-syarikat pengurusan hospital, stor-stor ubat kerajaan nan telah diswastakan serta syarikat-syarikat swasta yang diberi konsesi memeriksa pekerja-pekerja asing

Pada hemat saya, langah ini memang bertujuan memecahkan kongkongan monopoli-monopoli serta penerima konsesi ke atas rakayt Malaysia. Monopoli-monopoli serta penerima konsesi ini telah didirikan kerana hubungan politik dan bukan berdasarkan persaingan pasaran terbuka. Walaupun kita terpaksa menanggung kos tinggi memecahkan kongkongan ini pada mulanya, ia adalah kos akibat pentadbiran BN dan mungkin kesan baik jangka panjang akan melebihi beban buat masa kini.

Bab 1: Mendemokrasikan ekonomi dengan mengagihkan kuasa kepada kerajaan negeri

Sila rujuk pendahuluan

Anehnya, UMNO yang telah menerajui tentangan terhadap Penjajah British yang ingin memusatkan kuasa pentadbiran dan kewangan serta melemahkan kuasa kerajaan-kerajaan negeri dalam tahun 1946 menerusi Pembentukan Malayan Union, sejak medeka lagi menerusi pentadbiran Perikatan / Barisan Nasional telah meneruskan usaha pemusatan kuasa ini sehingga pendapatan Persekutuan bertambah daripada 4 kali ganda pendapatan semua kerajaan negeri dalam tahun 1990 kepada 12 kali ganda dalam tahun 2009.

Umpamanya, untuk tahun 2009, belanjanwan Kerajaan Persekutuan melebihi RM200,000,000,000 sementara belanjawan untuk Perlis dan Sabah hanyalah RM200,000,000. dan RM3,000,000,000. sahaja.

Bahkan menurut kajian Teh Chi-Chang dalam bukunya “The Budget – How the Government is spending our money”, belanjawan Jabatan Perdana Menteri telah melonjat lebih kurang 4 kali ganda daripada RM4,100,000,000 dalam tahun 2005 kepada RM14,000,000,000 untuk tahun 2009 di mana JPM ini bercampur tangan dalam urusan kementerian serta kerajaan negeri termasuk:

a)RM5,000,000,000 untuk membangunkan Koridor Ekonomi di Johor (Iskandar), Utara Malaysia (Merangkumi Kedah, Perak, Perlis dan Penang), Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) serta di Sabah dan Sarawak. (Kerajaan-kerajaan negeri pula tidak nampaknya berperanan langsung)

b) RM258,000,000 untuk projek perumahan untuk angkatan tentera dan PDRM (bukankah itu perihal Kementerian Pertahanan serta Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri?)

c) RM214,000,000 untuk usaha Penyusunan Semula Masyarakat (bukankah itu bawah pemantauan Kementerian Hal Ehwal Wanita, Kekeluargaan dan Kemasyarakatan?)

Bahkan Jabatan Perdana Menteri juga mempunyai peruntukan untuk Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (RM9,000,000), pembinaan mahkamah (RM114,000,000) serta pemberian kepada pembaikian dan naik taraf masjid dan sekolah agama (meskipun perkara ini seharusnya adalah bawah jagaan Sultan dan kerajaan negeri)

Menurut Belanjawan Alternatif (BA), keadaan ini melemahkan pentadiran negeri, mengkikis kuasa rakyat yang telah memilih kerajaan negeri, menghalang pentadbiran negeri yang lebih arif dan peka dengan keadaan setempat daripada bertindak serta menjadikan proses pentadbiran itu lembap kerana segala keputusan perlu dirujuk kepada Persekutuan.

Saya rasa ini adalah sebab utama mengapa Perdana Menteri Malaysia sekian lama nampaknya begitu berkuasa dan kemajuan iktisad hanya tertumpu di Lembah Kelang manakala ibu negeri lain seperti Ipoh, Seremban, Alor Setar, Kangar, Kota Kinabalu serta pekan-pekan lain nampaknya begitu kurang bermaya..


Apakah saranan BA untuk membetulkan keadaan ini?

1) Perjanjian Perkongsian Hasil Sumber (Tax Revenue Sharing Agreement)
2) Gran Penyamaan dan Pembangunan (Equalisation and Development Grants)
3) Kuasa Kerajaan Negeri Meminjam (Rights to Borrow)
4) Pilihanraya Majlis Setempat (Local Council Election)

Perjanjian Perkongsian Hasil Sumber

Sebanyak 20% cukai pendapatan perseorangan serta syarikat yang dikutip dalam negeri masing-masing akan dijadikan sumber hasil negeri tersebut. Ini menambahkan keupayaan kerajaan negeri masing-masing.

Saya rasa ini amat berbeza dengan pendekatan pentadbiran BN yang cuba menahan aliran sumber kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya negeri-negeri kawalan Pakatan Rakyat (umpamanya royalti petroleum Kelantan menurut undang-undang telah menjelma sebagai wang ehsan). Secara tersirat, ini menjadikan rakyat lebih berani membuat pilihan undi kerana tidak lagi bimbang akan dihukum atau pembangunan setempat akan tergendala akibat membuat keputusan mereka sebagai seorang warganegara yang waras, dewasa dan berhak memilih.


Gran Penyamaan dan Pembangunan

Kerajaan akan mengkaji keperluan negeri yang kurang maju dan memberi gran pembangunan menurut formula yang berdasarkan bancian kadar kemiskinan serta pendapatan purata peduduk negeri dan bukan berdasarkan haluan politik kerajaan negeri. Manfaatnya adalah sumber yang terjamin menyenangkan agensi-agensi negeri membuat perancangan untuk tempoh jangka panjang.
Ini bukan perkara luar biasa tetapi apa yang harus dan patut dibuat, tetapi tidak dilaksanakan sekian lama.Umpamanya di Indonesia, pengagihan gran untuk 434 daerah dan 32 negeri adalah menurut nisbah kepadatan penduduk, pendapatan per kapita dan beberapa bancian lagi.

Maka pihak BN tidak perlu khuatir sekiranya PR menduduki Kerajaan Persekutuan dan mereka hanya menduduki kerajaan negeri sahaja.


Kuasa Kerajaan Negeri Meminjam

Setiap kerajaan negeri dibenarkan meminjan sehingga 50% daripada jumlah hasil pendapatan janaan sendiri, dan pinjaman itu hanya untuk perbelanjaan pembangunan dan bukanlah perbelanjaan semasa (untuk mengelakkan pemborosan).

Dengan peningkatan sumber kewangan kerajaan negeri, maka kerajaan-kerajaan negeri akan diberikan lebih banyak kuasa dalam perihal pengangkutan dan kemudahan awam serta kebajikan masyarakat di mana adalah lebih mudah untuk kerajaan negeri dan majlis setempat mengambil tindakan berbanding dengan Kerajaan Persekutuan. Bahkan menurut Bab 3, peranan kerajaan-kerajaan negeri dalam pembanguanan ekonomi masing-masing juga akn dipertingkatkan.

BA ini menyarankan pembentukan Suruhanjaya Tanah dan Pengangkutan Kebangsaan (National Land Transportation Blueprint) bawah Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab membuat rangka polisi dan garis panduan untuk usaha pembinaan jalan raya serta memastikan keserasian pembangunan sistem pengangkutan awam termasuk landasan keretapi, bas, teksi, basikal serta berjalan kaki. Walaubagaimana pun, kuasa merancang dan mentadbir rangkaian pengangkutan awam akan diletak bawah kerajaan negeri masing-masing.


Pilihanraya Majlis Setempat (Local Council Election)
BA ini juga memperuntukkan RM400,000,000 untuk mengadakan “undi ketiga” ini kerana adalah kaedah yang paling berkesan dalam merakyatkan and memantau perkhidmatan majlis ini.

Tafsrian Belanjawan 2010 daripada DAP Economic Bureau yang bertajuk “Mendemokrasikan Ekonomi Malaysia”

DAP telah membentangkan suatu Belanjawan Alternatif (BA) yang amat memberangsangkan minda saya dan saya ingin berkongsi apa yang saya telah amati setelah membaca BA sepanjang 152 muka surat ini.

Rumusan saya adalah BA ini boleh memanfaatkan rakyat jelata menerusi pendekatan serta falsafah yang amat berbeza dengan pendekatan pentadbiran Barisan Nasional yang hanya bercirikan:

i) meningkatkan hutang negara
ii) memboroskan wang Petronas
iii) mebih mementingkan perbelanjaan semasa daripada pelaburan untuk masa hadapan
iv) pengagihan pendapatan negara yang nampaknya tiada kesan langsung dan segera kepada rakyat
v) memusatkan kuasa kawalan sumber kewangan dan membuat keputusan di pentadbiran Persekutuan di Putrajaya.

Oleh kerana tafsiran saya ini berpanjang lebar, saya telah membahagikannya kepada 3 bab menurut 3 haluan utama BA ini.

3 haluan utama BA ini adalah

i) Mendemokrasikan ekonomi dengan mengagihkan kuasa kepada kerajaan negeri : tafsiran saya dalam bab 1

ii) Rakyat didahulukan menerusi pengubahan struktur ekonomi serta pengagihan semula sumber : tafsiran saya dalam bab 2

iii) Memberi kuasa dan daya kepada rakyat untuk membina keupayaan dan daya saing negara : tafsiran saya dalam bab 3

Pada hemat saya, perbezaan asas antara falsafah belanjawan ini adalah penyebaran serta perkongsian sumber khasnya kepada golongan yang berpendapaan rendah serta giat melabur untuk masa hadapan, berbanding dengan pendekatan BN yang kuat membelanjakan wang untuk perbelanjaan semasa serta penumpuan penerimaan sumber hasil.

Falsafah dan kematangan pemikiran yang terkandung dalam BA ini menyakinkan saya bahawa seandainya terdapat Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat yang melaksanakan rancangan-rancangan BA ini, maka banyak manfaat akan dirasai oleh rakyat Malaysia. Mungkin pihak Pentadbiran Najib akan cuba mendapatkan ilham pula daripada BA ini.