Bab 1: Mendemokrasikan ekonomi dengan mengagihkan kuasa kepada kerajaan negeri

Sila rujuk pendahuluan

Anehnya, UMNO yang telah menerajui tentangan terhadap Penjajah British yang ingin memusatkan kuasa pentadbiran dan kewangan serta melemahkan kuasa kerajaan-kerajaan negeri dalam tahun 1946 menerusi Pembentukan Malayan Union, sejak medeka lagi menerusi pentadbiran Perikatan / Barisan Nasional telah meneruskan usaha pemusatan kuasa ini sehingga pendapatan Persekutuan bertambah daripada 4 kali ganda pendapatan semua kerajaan negeri dalam tahun 1990 kepada 12 kali ganda dalam tahun 2009.

Umpamanya, untuk tahun 2009, belanjanwan Kerajaan Persekutuan melebihi RM200,000,000,000 sementara belanjawan untuk Perlis dan Sabah hanyalah RM200,000,000. dan RM3,000,000,000. sahaja.

Bahkan menurut kajian Teh Chi-Chang dalam bukunya “The Budget – How the Government is spending our money”, belanjawan Jabatan Perdana Menteri telah melonjat lebih kurang 4 kali ganda daripada RM4,100,000,000 dalam tahun 2005 kepada RM14,000,000,000 untuk tahun 2009 di mana JPM ini bercampur tangan dalam urusan kementerian serta kerajaan negeri termasuk:

a)RM5,000,000,000 untuk membangunkan Koridor Ekonomi di Johor (Iskandar), Utara Malaysia (Merangkumi Kedah, Perak, Perlis dan Penang), Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) serta di Sabah dan Sarawak. (Kerajaan-kerajaan negeri pula tidak nampaknya berperanan langsung)

b) RM258,000,000 untuk projek perumahan untuk angkatan tentera dan PDRM (bukankah itu perihal Kementerian Pertahanan serta Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri?)

c) RM214,000,000 untuk usaha Penyusunan Semula Masyarakat (bukankah itu bawah pemantauan Kementerian Hal Ehwal Wanita, Kekeluargaan dan Kemasyarakatan?)

Bahkan Jabatan Perdana Menteri juga mempunyai peruntukan untuk Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (RM9,000,000), pembinaan mahkamah (RM114,000,000) serta pemberian kepada pembaikian dan naik taraf masjid dan sekolah agama (meskipun perkara ini seharusnya adalah bawah jagaan Sultan dan kerajaan negeri)

Menurut Belanjawan Alternatif (BA), keadaan ini melemahkan pentadiran negeri, mengkikis kuasa rakyat yang telah memilih kerajaan negeri, menghalang pentadbiran negeri yang lebih arif dan peka dengan keadaan setempat daripada bertindak serta menjadikan proses pentadbiran itu lembap kerana segala keputusan perlu dirujuk kepada Persekutuan.

Saya rasa ini adalah sebab utama mengapa Perdana Menteri Malaysia sekian lama nampaknya begitu berkuasa dan kemajuan iktisad hanya tertumpu di Lembah Kelang manakala ibu negeri lain seperti Ipoh, Seremban, Alor Setar, Kangar, Kota Kinabalu serta pekan-pekan lain nampaknya begitu kurang bermaya..


Apakah saranan BA untuk membetulkan keadaan ini?

1) Perjanjian Perkongsian Hasil Sumber (Tax Revenue Sharing Agreement)
2) Gran Penyamaan dan Pembangunan (Equalisation and Development Grants)
3) Kuasa Kerajaan Negeri Meminjam (Rights to Borrow)
4) Pilihanraya Majlis Setempat (Local Council Election)

Perjanjian Perkongsian Hasil Sumber

Sebanyak 20% cukai pendapatan perseorangan serta syarikat yang dikutip dalam negeri masing-masing akan dijadikan sumber hasil negeri tersebut. Ini menambahkan keupayaan kerajaan negeri masing-masing.

Saya rasa ini amat berbeza dengan pendekatan pentadbiran BN yang cuba menahan aliran sumber kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya negeri-negeri kawalan Pakatan Rakyat (umpamanya royalti petroleum Kelantan menurut undang-undang telah menjelma sebagai wang ehsan). Secara tersirat, ini menjadikan rakyat lebih berani membuat pilihan undi kerana tidak lagi bimbang akan dihukum atau pembangunan setempat akan tergendala akibat membuat keputusan mereka sebagai seorang warganegara yang waras, dewasa dan berhak memilih.


Gran Penyamaan dan Pembangunan

Kerajaan akan mengkaji keperluan negeri yang kurang maju dan memberi gran pembangunan menurut formula yang berdasarkan bancian kadar kemiskinan serta pendapatan purata peduduk negeri dan bukan berdasarkan haluan politik kerajaan negeri. Manfaatnya adalah sumber yang terjamin menyenangkan agensi-agensi negeri membuat perancangan untuk tempoh jangka panjang.
Ini bukan perkara luar biasa tetapi apa yang harus dan patut dibuat, tetapi tidak dilaksanakan sekian lama.Umpamanya di Indonesia, pengagihan gran untuk 434 daerah dan 32 negeri adalah menurut nisbah kepadatan penduduk, pendapatan per kapita dan beberapa bancian lagi.

Maka pihak BN tidak perlu khuatir sekiranya PR menduduki Kerajaan Persekutuan dan mereka hanya menduduki kerajaan negeri sahaja.


Kuasa Kerajaan Negeri Meminjam

Setiap kerajaan negeri dibenarkan meminjan sehingga 50% daripada jumlah hasil pendapatan janaan sendiri, dan pinjaman itu hanya untuk perbelanjaan pembangunan dan bukanlah perbelanjaan semasa (untuk mengelakkan pemborosan).

Dengan peningkatan sumber kewangan kerajaan negeri, maka kerajaan-kerajaan negeri akan diberikan lebih banyak kuasa dalam perihal pengangkutan dan kemudahan awam serta kebajikan masyarakat di mana adalah lebih mudah untuk kerajaan negeri dan majlis setempat mengambil tindakan berbanding dengan Kerajaan Persekutuan. Bahkan menurut Bab 3, peranan kerajaan-kerajaan negeri dalam pembanguanan ekonomi masing-masing juga akn dipertingkatkan.

BA ini menyarankan pembentukan Suruhanjaya Tanah dan Pengangkutan Kebangsaan (National Land Transportation Blueprint) bawah Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab membuat rangka polisi dan garis panduan untuk usaha pembinaan jalan raya serta memastikan keserasian pembangunan sistem pengangkutan awam termasuk landasan keretapi, bas, teksi, basikal serta berjalan kaki. Walaubagaimana pun, kuasa merancang dan mentadbir rangkaian pengangkutan awam akan diletak bawah kerajaan negeri masing-masing.


Pilihanraya Majlis Setempat (Local Council Election)
BA ini juga memperuntukkan RM400,000,000 untuk mengadakan “undi ketiga” ini kerana adalah kaedah yang paling berkesan dalam merakyatkan and memantau perkhidmatan majlis ini.

No comments:

Post a Comment