Jika DAP memang dalang rusuhan itu, maka soalnya, apakah manfaatnya DAP berbuat demikian? Ia telah menyertai pilihanraya menurut peruntukan undang-undang dan telah mencapai kemenangan yang paling cemerlang ketika itu. Memang tiada masuk akal and tiada motif untuk DAP menimbulkan rusuhan. Hakikatnya siapakah yang telah mengambil kesempatan mengantung parlimen pilihan rakyat selama dua tahun? Perlukah parlimen untuk seluruh Malaysia digantung kerana rusuhan di Kuala Lumpur yang telah ditumpaskan dalam tempoh beberapa hari?
Siapakah yang menimbulkan rusuhan ini sampai sekarang belum kita tahu lagi. Apa yang saya tahu adalah semasa rusuhan tercetus, Lim Kit Siang berada di Sabah untuk berkempen di situ dan tanpa alat perhubungan canggih kini, masakan beliau mengetuai kerja-kerja keji itu?
Di Malaysia, walaupun seseorang itu disyaki membunuh, merogol, mencuri atau apa-apa jenayah pun, dia berhak mendapat peluang disiasat, membela diri dan menjawab tuduhan terhadapnya. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kurun ke-21 ini, masyarakat Melayu tumpuan propaganda UMNO ini khasnya berhak mendengar suara daripada pihak DAP supaya dapat meneliti hujah kedua pihak untuk menentukan kebenaran.
Maka buku bertajuk “Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 tahun Parti Tindakan Demokratik” karangan saudara Wan Hamidi ini harus dijadikan rujukan di samping Utusan Malaysia, khabar Roket serta halaman facebook Roketkini untuk tatapan rakyat yang berhak memahami keadaan nan sebenarnya kerana ini akan menjadikan mereka pengundi yang lebih arif.
Saya membeli buku ini in MPH Wangsa Maju, harganya RM15 sahaja.
Halaman facebook "Roketkini"
Rangka buku ini disusun untuk membidas tohmahan dan fitnah selama ini dengan beberapa bahagian yang menerangkan sejarah ringkas DAP, prinsip perjuangan DAP serta cabaran semasa dan hadapannya, khususnya dakwaan bahawa DAP parti komunis, anti-Melayu dan anti-Islam.
Fitnah # 1: DAP parti komunis?
Berhubung dengan dakwaan bahawa DAP adalah parti komunis, saudara Wan Hamidi mengambil ruang besar untuk menerangkan asal usul fahaman komunis dan sosialis. Ringkasnya, falsafah dan perlembagaan DAP berdasarkan kepada fahaman sosialis dan puak sosialis ini adalah pecahan daripada golongan komunis akibat bantahan terhadap fahaman komunis yang radikal (umpamanya golongan macam Lenin dan Stalin). Pihak sosialis menitikberatkan nilai-nilai demokratik sosial, keserdehanaan dan perkembangan minda (intellectual progressive) yang menolak komunisme.
Setahu saya, Parti Komunis Malaya menyeru khalayak mengangkat senjata dan menolak sistem demokrais tetapi DAP melawan menurut peruntukan undang-undang dan menyertai proses demokrasi. Tohmahan UMNO bahawa DAP adalah parti komunis nampaknya jahil dan tidak berasas langsung sekali.
Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan asing tertinggi antara semua negeri Malaysia dalam tahun 2010. Jika DAP komunis, sepatutnya DAP menolak semua pelabur dan pelancong asing seperti Korea Utara dan bukanlah meneruskan usaha memajukan iktisad Pulau Pinang berdasarkan prinsip-prinsip ekonomi terbuka dan pentadbiran nan telus.
Menurut buku ini, hakikatnya UMNO lebih intim dengan komunis daripada DAP.
m.s. 38 “Pada 28 Mei 1974, Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Pertama daripada Malaysia yang membuat lawatan rasmi ke China…bertemu dengan pemimpin komunis Mao Zedong…menandatangani perjanjian hubungan diplomatik walaupun pada masa itu China masih aktif membantu dan menyokong perjuangan PKM”
Ketika itu, Abdul Razak hendak dapat semula sokongan pengundi kaum Cina manakala China ketika itu masih terpinggir daripada hubungan diplomatik yang meluas maka masing-masing ada agenda sendiri bersandiwara.
m.s. 38 “Pada Ogos 2010, UMNO dan Parti Komunis China menandatangani memorandum persefahaman bersama untuk mengadakan program pertukaran belia…MoU ditandatangan di Beijing di mana UMNO diwakili oleh Setiausaha Agungnya Datuk Tengku Adnan Mansor…”
Fitnah # 2 DAP anti-Melayu?
Dalam menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan cauvinis Cina tanpa bukti-bukti bernas, hairan juga UMNO tidak menuduh Malaysia Chinese Association sebagai cauvinis Cina dan Malaysia Indian Congress sebagai cauvinis India meskipun daripada nama pun kita tahu siapakah yang berlandasan segala-galanya atas soal kaum.
Petikan m.s. 93 “…selepas Mac 2008, isu Melayu Pulau Pinang yang biasanya timbul setahun sekali secara tiba-tiba ini menjadi terpinggir dan ditindas setiap hari…
Isu-isu hidup seharian serta persoalan kecekapan pentadbiran telah dipesongkan ke permainan perkauman dan hasutan….”
Hakikatnya,
m.s. 94 “Semenjak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru hingga tahun 1990-an Pulau Pinang telah dibekalkan dengan infrastruktur pembangunan khusus untuk Melayu melalui Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang dan Koperasi Gabungan Negeri serta bantuan dana kepada …Dewan Perniagaan Melayu Pualu Pinang….”
m.s. 95 “..UMNO mempunyai lebih 50 tahun untuk membantu menyelesaikan masalah…namun mengikut kajian UMNO Pulau Pinang sendiri pada awal tahun-tahun 2000-an, walaupun ekonomu negeri berkembang, kedudukan orang Melayu dikatakan masih berada di takuk lama…”
Keadaan perniagaan untuk kontraktor-kontraktor Melayu bertambah baik setelah DAP mengambilalih kerajaan negeri Pulau Pinang.
m.s. 97 “…Guan Eng mendedahkan fakta bahawa kontraktor mendapat 100% tender projek Jabatan Pengairan dan Saliran, dan 98% projek Jabatan Kerja Raya …. Kontraktor bukan Melayu … hanya mendapat kontrak…2% sahaja…
Guan Eng membalas tuduhan (bahawa kontraktor Melayu dipinggirkan) …’urus tadbir dan sistem tender terbuka telah membuktikan bahawa kontraktor Melayu memang berjaya secara terbuka. Yang tak mampu saing hanya kontraktor UMNO yang lembik dan dayus sehingga bergantung kepada kabel politik UMNO dan hidup sebagai kontraktor kroni’.”
m.s.97, “Kecekapan, ketelusan dan keikhlasan urus tadbir kerajaan negeri telah diakui oleh Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Pualu Pinang Datuk Mohamed Fadzill Hassan yang telah memohon maaf kepada Ketua Menteri dalam satu pertemuan di Komtar, George Town pada Januari 2011.”
Para pemimpin DAP memang ada membantu orang Melayu tetapi media-media kawalan UMNO tidak berani melaporkan usaha-usaha DAP ini. Kerana membantu gadis Melayu teraniaya, Lim Guan Eng telah dipenjarakan dan hilang kerusi parlimen dan pencennya. Belum pernah kita jumpa mana-mana pemimpin UMNO yang membantu sampai tahap ini.
Kerana Utusan Malaysia hanya minat dengan cerita dongeng oleh blogger seperti Big Dog yang tidak munasabah, usaha-usaha murni seperti bantuan Ahli Parlimen Rasah, YB Anthony Loke kepada keluarga Melayu tidak dilaporkan. Hasad Dengki dan fitnah diutamakan, usaha-usaha murni dan perikemanusiaan dibelakangkan. Itulah falsafah media kawalan yang kita harus tolak dan pulau.
http://lokesiewfook.blogspot.com/2009/01/bantuan-pendidikan.html
Fitnah # 3 DAP anti-Islam?
m.s. 75 “…pemimpin UMNO merasakan bahawa dengan mengutuk dan menfitnah DAP, mereka akan dapat menarik sokongan Melayu….mereka menganggap semua orang Melayu bersikap perkauman seperti mereka juga…..bagi DAP, setiap insan mempunyai hak asasi yang sama tanpa mengira latar belakang dan keturunan mereka. Atas prinsip ini juga DAP menghormati Islam kerana Islam sebagai Ad-Din benar-benar menjamin hak saksama antara manusia tanpa mengira warna kulit dna keturunan.”
Jika DAP benar-benar anti-Melayu dan Islam, mengapakan PKR dan PAS boleh bekerjasama dengan DAP menyertai pilihanraya serta mentadbir 5 negeri di Malaysia?
Sejauh manakah kejayaan propaganda UMNO bertujuan menjauhkan masyarakat Melayu daripada DAP selama ini? Saya rasa sekiranya suatu pembohongan diulang berkali-kali, ada juga orang yang akan percaya yang karut itu benar dan yang benar itu karut.
Namun mujurnya ada rakyat Malaysia yang kini pandai menafsir dan menilai samasa maklumat yang diberi itu patut diterima atau ditolak.
YB Teo Nie Ching, ahli Parlimen Serdang bergaul mesra dengan masyarakat Melayu di kawasan beliau
Menurut laporan China Press pada 20 Mei, seorang rakyat Malaysia yang penuh bertanggungjawab, Encik Sufaiya (terjemah terus daripada tulisan Cina, jika silap saya minta maaf) telah membawa perhatian ADUN Bukit Kepayang, YB Cha Kee Chin daripada DAP, kepada angkara pekerja Pos Malaysia Berhad membuang beribu-ribu surat ke dalam belukar. YB Cha telah memuji beliau sebagai seorang rakyat Malaysia yang patut dijadikan iktibar dan minta penjelasan daripada pihak Pos Malaysia.
Peristiwa kecil tersebut rasanya tidak dilaporkan dalam Utusan Malaysia, masakan hakikat seorang warga Melayu boleh berjumpa wakil rakyatnya daripada DAP untuk menyelesaikan masalah hidup seharian boleh dipaparkan dalam akhbar ini?
Saya rasa jika masyarakat Melayu hendak tahu jawapan nan sebenarnya, terus pergi jumpa dan bertanyakan pemimpin-pemimpin DAP mengenai pendirian mereka. Sama ada para pembaca rencana ini bersetuju dengan rumusan saya atau tidak itu tak penting tetapi apa yang penting ialah anda harus berkemampuan menafsir dengan rasional dan berdasarkan fakta, dan setidak-tidaknya bacalah buku ini sebelum membuat kesimpulan anda sendiri.